Ubuntu
| Ubuntu |
Ubuntu
Ubuntu ialah sistem pengendalian yang berasaskan edaran
Linux Debian, namanya diambil sempena ideologi etika Afrika Selatan iaitu
Ubuntu ("kemanusiaan untuk semua") dan diedarkan sebagai perisian
sumber terbuka percuma. Ubuntu menyediakan sistem pengendalian yang sentiasa
dikemas kini dan stabil untuk pengguna biasa, dengan tumpuan khusus kepada
kebolehgunaan dan kesenangan pemasangan. Ubuntu dibina khas untuk digunakan
secara utama pada Komputer peribadi walaupun terdapat juga versi Pelayan.
Ubuntu terdiri daripada berbilang pakej
perisian yang kebanyakan besarnya diedarkan dengan lesen perisian bebas (atau
sumber terbuka). Lesen utama yang digunakan ialah Lesen Awam Am GNU (GNU
General Public License), bersama dengan Lesen Awam Am Kecil GNU (GNU Lesser
General Public License), yang nyata mengisytiharkan bahawa para pengguna bebas
menjalankan, menyalin, mengedar, mengkaji, mengubah, membangunkan dan menambah
baik perisiannya. Ubuntu ditaja oleh syarikat Canonical Ltd. yang bertapak di
UK, milik usahawan Afrika Selatan, Mark Shuttleworth.
Desktop Ubuntu didatangkan dengan paparan
antara muka bergrafik. Bermulanya versi 11.04, Unity menjadi paparan antara
muka bergrafik yang didatangkan secara lalai untuk menggantikan GNOME Shell. Ubuntu
juga datang dengan pelbagai perisian termasuklah LibreOffice (OpenOffice
sebelum versi 11.04), Firefox, Empathy (Pidgin sebelum versi 9.10),
Transmission, GIMP (sebelum versi 10.04) dan beberapa permainan yang bersifat
ringan (seperti Sudoku and Catur). Perisian tambahan yang tidak didatangkan
secara lalai boleh dimuat turun dan dipasang melalui Pusat Perisian Ubuntu.
Ubuntu membolehkan port perangkaian ditutup dengan tembok apinya, dengan adanya
pilihan port yang sesuai. GNOME (desktop asal) menawarkan sokongan untuk lebih
46 bahasa.[15] Ubuntu juga boleh menjalankan banyak program yang direka untuk
Microsoft Windows (seperti Microsoft Office), melalui perisian Wine atau mesin
maya (seperti VMware Workstation atau VirtualBox).
Pemasangan Ubuntu biasanya dilakukan dengan
Live CD. Sistem pengendalian Ubuntu juga boleh dijalankan terus dari CD
(walaupun prestasinya berkurangan), membolehkan pengguna menguji sistem
pengendaliannya untuk keserasian perkakas dan sokongan pemacu. CD-nya
mengandungi pemasang Ubiquity,[25] yang boleh memberi panduan kepada pengguna
melalui proses pemasangan tetap. Pemasangan dari CD memerlukan sekurang-kuranya
256 MB RAM. Alat migrasi Microsoft Windows bernama Migration Assistant (diperkenalkan
pada April 2007), boleh digunakan untuk mengimport penanda laman, paparan latar
(wallpaper), dan pelbagai jenis tetapan dari pemasangan MS Windows sedia ada ke
pemasangan Ubuntu yang baru.
Ubuntu dan Kubuntu boleh dibuat dan dijalankan
dari pemacu kilat USB (asalkan BIOS-nya menyokong penggunaan dari USB), dengan pilihan
menyimpan tetapan dalam pemacu kilat tersebut. Ini membolehkan pemasangan mudah
alih yang boleh dijalankan di mana-mana PC yang mampu mengebut dari pemacu
USB.[28] Di versi-versi terbaru Ubuntu, program USB creator disediakan untuk
memasangkan Ubuntu pada pemacu USB (tidak semestinya memerlukan Live CD). Wubi
yang disertakan sebagai pilihan dalam Live CD, membolehkan Ubuntu dipasang dan
dijalankan dari dalam peranti gelung Windows maya (berbentuk fail imej besar
yang diuruskan seperti program Windows yang lain melalui Panel Kawalan). Kaedah
ini tidak memerlukan pemacu keras pengguna Windows itu dipecahkan. Wubi juga
memanfaatkan Migration Assistant untuk mengimport tetapan juga. Wubi sesuai
untuk pengguna Windows sahaja, dan tidak ditujukan kepada pemasangan Ubuntu
tetap, apalagi menyebabkan prestasi terjejas sedikit.
Kaji selidik yang dijalankan pada Ogos 2007,
melibatkan 38,500 pengunjung DesktopLinux.com, mendapati bahawa Ubuntu ialah
edaran yang terlaris dengan 30.3% penjawabnya mengaku menggunakannya. Pada
Januari 2009, akhbar New York Times melaporkan Ubuntu melebihi 10 juta penggunanya;
pada bulan Jun 2009 pula, ZDNet melaporkan "Di seluruh dunia, terdapat 13
juta pengguna Ubuntu yang aktif. Penggunaan Ubuntu bertumbuh lebih cepat
berbanding edaran-edaran yang lain.
Ulasan